Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lori tangki air terus digerak sementara bekalan pulih sepenuhnya esok

SHAH ALAM, 11 OGOS: Bantuan alternatif melalui lori tangki air terus digerakkan ke premis kritikal dan kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn (Air Selangor) berkata ujian persampelan air turut dilakukan bagi memastikan air terawat yang disalurkan kepada pengguna selamat dan bersih.

“Ujian persampelan air turut dilakukan di tapak sebelum lori tangki air digerakkan bagi memastikan air terawat yang bersih dah selamat sampai kepada pengguna,” kata syarikat itu di Facebook.

Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 beroperasi semula mengikut jadual jam 3.30 petang tadi bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Berikutan itu, Air Selangor menjangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya 8 malam esok.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di KM75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur semalam.

Berikutan itu, bantuan air alternatif menggunakan lori tangki digerakkan kepada pengguna terutama di premis kritikal bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Petugas Air Selangor melakukan ujian persampelan sebelum lori tangki digerakkan bagi memastikan air terawat yang bersih dah selamat sampai kepada pengguna. Foto Facebook Air Selangor

Pengarang :