AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LRA Langat 2 beroperasi semula, bekalan air pulih sepenuhnya malam esok

SHAH ALAM, 11 OGOS: Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 beroperasi semula mengikut jadual jam 3.30 petang tadi bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Berikutan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn (Air Selangor) menjangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya 8 malam esok.

“Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan,” maklum syarikat itu di Twitter.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di KM75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur semalam.

Berikutan itu, bantuan air alternatif menggunakan lori tangki digerakkan kepada pengguna terutama di premis kritikal bagi meminimumkan dampak gangguan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :