Petugas Skuad Jejak Kemiskinan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemu bual salah seorang guru Kafa untuk mengenal pasti mereka yang layak disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin di pejabat operasi LZS di Kuala Selangor baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS saring guru Kafa alami kesempitan hidup untuk terima bantuan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyaring 218 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) sekitar Kuala Selangor yang mengalami kesempitan hidup.

Inisiatif melalui program Skuad Jejak Kemiskinan merupakan salah satu rutin bagi mengenal pasti mereka yang layak untuk disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.

Menurut agensi itu di Facebook, program yang diadakan di pejabat operasi LZS baru-baru ini kemudian menyenarai pendek 84 guru untuk penilaian seterusnya.

“Masyarakat dialu-alukan untuk terus melaporkan kepada kami sekiranya mengenal pasti mereka yang dirasakan mengalami kesempitan hidup. Insya-Allah kami santuni aduan dengan segera.

“Terima kasih buat pengeluar zakat. Teruskan bersama kami untuk santuni lebih ramai asnaf dan mereka yang memerlukan,” kata pusat pungutan zakat itu.

LZS turut berkongsi luahan salah seorang guru yang berterima kasih atas usaha agensi berkenaan dalam menganjurkan program bagi membantu golongan memerlukan.

“Dah lama nak mengadu pasal kesempitan hidup tetapi malu. Terima kasih sebab zakat buat program macam ini,” luah guru terbabit.


Pengarang :