AGENDANASIONAL

MAHA 2022: Laman padi tawar beras 5kg hanya RM10 pada masa terhad

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Pengunjung berpeluang membeli beras seberat 5 kilogram dengan harga lelongan serendah RM10 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula Khamis sehingga 14 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Azman Mahmood berkata lelongan beras RM10 itu boleh didapati di Laman Agro-Food Padi pada happy hour yang waktunya hanya diumumkan pada bila-bila masa sepanjang pameran dan selepas tempoh itu tamat, beras tersebut dijual pada harga RM11 sekilogram.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk mendidik murid-murid sekolah rendah dari seluruh Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mengenai proses menanam hingga menuai padi di Laman Agro-Food Padi.

“Satu hari ada tiga sekolah kami jemput (ke laman), kami nak bagi pendidikan secara langsung kepada generasi baharu tentang kesinambungan keselamatan makanan kerana beras merupakan makanan asas yang semua orang perlu tahu.

“Ada sesetengah pelajar, tak pernah tengok fizikal padi, dia tahu makan sahaja. Kami sasar untuk didik pelajar ini sebab mereka akan menjadi pemimpin pada masa akan datang dan pertanian ini menyediakan peluang pekerjaan yang besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Azman berkata pihaknya turut mempamerkan integrasi tanaman padi dengan ternakan udang galah bagi meningkatkan pendapatan pesawah tanpa mengurangkan hasil padi.

Katanya pameran replika jerami yang dikitar semula untuk menghasilkan makanan ternakan seterusnya menjadi port bergambar oleh pengunjung juga disediakan di Laman Padi itu.

“Integrasi antara padi dan udang galah ini akan memberi pesawah jana pendapatan lebih, kalau udang galah sekilogram RM50, tetapi kalau tanam padi baru RM1.20. Padi kita tanam dua kali semusim, kalau udang berterusan,” katanya.

Menurut Azman Laman Agro-Food Padi juga menyediakan galeri padi yang mempamerkan evolusi cara penanaman padi daripada menggunakan sabit hingga penggunaan teknologi baharu termasuk dron untuk membantu memudahkan semburan racun dan kawalan serangga serta penyakit.

Azman berkata pihaknya juga akan melancarkan Internet benda (IoT) baharu yang boleh mengenal pasti jenis tanah serta cuaca yang sesuai untuk penanaman benih padi pada 7 Ogos ini.

“Kami cuba bawa generasi baharu untuk terlibat dengan benda-benda ini (industri padi) sebab beras orang makan hari-hari. Kalau berlaku perang atau krisis ekonomi sekalipun, ia masih berjalan. Kalau sebut sektor padi bukan hanya terlibat dengan penanaman padi, banyak lagi yang boleh buat, dengan dron, pengeluaran produk, baja dan jentera,” katanya.

Laman Agro-Food Padi adalah satu daripada lapan laman pertanian iaitu Laman perikanan, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-Buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur yang akan mewarnai MAHA 2020 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

– BERNAMA


Pengarang :