Para pengunjung mengambil peluang singgah ke Castle of Fruits bagi melihat pokok jualan seperti pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan florikultur pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 7 Ogos. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MAHA 2022: Pertubuhan Peladang tawar produk dengan potongan harga hingga 30 peratus

SERDANG, 8 OGOS: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menawarkan pelbagai pilihan dalam segmen produk makanannya menerusi jenama Peladang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung hingga 14 Ogos ini.

Pengunjung boleh mendapatkan produk jenama Peladang pada harga berpatutan selain promosi diskaun hingga 30 peratus bagi barangan terpilih di Pavilion NAFAS yang terletak di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ayam sejuk beku, minyak masak botol dan pelbagai produk makanan peket antara barangan di bawah jenama Peladang yang boleh didapati di reruai NAFAS sepanjang pameran berkenaan.

Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan NAFAS Baharozaman Mohid berkata penganjuran MAHA 2022 membolehkan pihaknya mengetengahkan jenama Peladang sekali gus dapat memperkenalkan produk pengusaha tempatan di pasaran.

“Di NAFAS kita ada dua strategi pasaran iaitu luar talian dan dalam talian, kita akan bawa jenama Peladang ini untuk diketengahkan dalam pasaran dan menerusi pasaran teknologi secara dalam talian, ia akan membuka ruang yang lebih besar kepada para pengusaha untuk menembusi pasaran”, katanyadi Pavilion NAFAS pada MAHA 2022, semalam.

“Selain itu, NAFAS juga memanfaatkan penganjuran MAHA 2022 dalam mempromosikan produk yang dihasilkan ahlinya di bawah jenama Peladang kepada pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Baharozaman berkata NAFAS juga menyasarkan sebanyak 10,000 jualan setiap hari bagi produk jenama Peladang sepanjang MAHA 2022 dengan tumpuan diberikan kepada usaha mempromosikan jenama itu kepada pengguna selain meningkatkan potensi jaringan jenama Peladang di pasaran.

Sementara itu, Chef Selebriti Naem Ramli ketika ditemui menyifatkan produk makanan jenama Peladang memudahkan penyediaan juadah selain mempunyai pelbagai pilihan produk makanan yang memenuhi cita rasa pengguna.

Beliau yang turut mempamerkan demo masakan Ayam Panggang Tomyam dan Ayam Sambal Pandan dengan menggunakan produk Peladang di hadapan pengunjung MAHA 2022 berkata produk jenama berkenaan juga amat berkualiti selain mudah dan praktikal untuk digunakan ketika memasak.

Seorang pengunjung dari Putrajaya, Raudah Abdul Rahman berkata harga produk jenama Peladang yang terdapat di Pavilion NAFAS amat berpatutan khususnya membabitkan produk bahan mentah sejuk beku.

Beliau berkata harga barangan di bawah jenama Peladang pada penganjuran MAHA 2022 adalah lebih murah dan peluang itu digunakan sebaik mungkin olehnya.

Muhammad Khairi Mustapa pula berkata kekemasan bungkusan produk makanan jenama Peladang selain kepelbagaian barang makanan membuatkan beliau tertarik untuk membeli produk jenama itu. – BERNAMA


Pengarang :