Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka kaunter khidmat bantuan guaman syarie percuma ketika program Usrah Perdana Mualaf di Hotel Geno pada 30 Julai 2022. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais sedia khidmat guaman syarie percuma bagi individu berpendapatan RM3,000

SHAH ALAM, 3 OGOS: Individu berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman syarie secara percuma bagi kes mal di Mahkamah Syariah.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata perkhidmatan itu diharap dapat membantu lebih ramai masyarakat Islam yang tidak berkemampuan khususnya B40.

“Mais telah mengubah syarat kelayakan berkaitan jumlah pendapatan kasar kepada RM3,000 ke bawah berbanding RM1,500 bagi khidmat bantuan guaman syarie secara percuma bagi kes mal di Mahkamah Syariah.

“Bantuan guaman secara percuma ini diharap membantu menyelesaikan kes-kes mal di Mahkamah Syariah, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat Islam di Selangor,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Shahir, selain syarat kelayakan pendapatan, pemohon juga mestilah warganegara Malaysia, mengisi borang permohonan dengan lengkap dan lulus temuduga penilaian kewajaran kes.

Antara kes diwakili bantuan guaman syarie adalah permohonan cerai biasa, cerai fasakh, cerai khul’ (tebus talaq), cerai ta’liq, pengesahan lafaz cerai, pengesahan lafaz ruju’, poligami (hanya mewakili defendan), nusyuz, wali hakim dan wali enggan.

Lain-lain kes adalah faraq nikah, pengesahan nikah dan pengesahan sah taraf anak, permohonan tuntutan kebenaran poligami (bagi defendan sahaja), tuntutan nafkah anak, tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan ubah perintah nafkah anak.

“Kami berharap individu yang layak mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Mais ini dalam membantu menyelesaikan urusan yang berkaitan,” tambahnya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati melalui laman sesawang Mais di https://www.mais.gov.my/bantuan-guaman-syarie-kategori-umum/ atau datang terus ke kaunter Bahagian Undang-Undang Syariah Mais di tingkat 6 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor atau hubungi talian 03-5514 3643.


Pengarang :