Ibu pejabat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Malaysia tandatangani dua perjanjian angkasa lepas bawah PBB

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Malaysia telah menandatangani dua daripada lima perjanjian atau konvensyen angkasa lepas antarabangsa berkaitan angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan melindungi dan menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.

Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini berkata perjanjian atau konvensyen yang telah ditandatangani itu ialah ‘Treaty on Principle Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, Including the Moon and Other Celestial Bodies, 1967 (OST 1967)’.

Selain itu turut ditandatangani ialah ‘Agreement on the Rescue of Astronauts, the Return of Astronauts and the Return of Objects Launched into Outer Space, 1968 (ARRA 1968)’.

“Proses meratifikasi atau menganggotai kesemua perjanjian atau konvensyen itu sedang dipertimbangkan selaras dengan kepentingan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya keanggotaan Malaysia dalam Pertubuhan United Nation-Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS) sejak tahun 1994 menunjukkan komitmen negara untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam sektor angkasa di peringkat antarabangsa.

“Komitmen negara ini telah dibuktikan melalui pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 25 Januari 2022.

“Akta 834 ini membolehkan kerajaan melalui MOSTI menimbangkan tindakan yang perlu bagi meratifikasi kesemua perjanjian atau konvensyen antarabangsa berkaitan angkasa, selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu tiga lagi perjanjian atau konvensyen antarabangsa berkaitan angkasa yang belum ditandatangani ialah ‘Convention on International Liability for Damage Caused by Space Objects, 1972 (LIAB 1972)’; ‘Convention of Registration of Objects Launched into Outer Space, 1975 (REG 1975)’ dan Agreement Governing the Activities of State on the Moon and Other Celestial Bodies, 1979 (MOON 1979). – BERNAMA

 


Pengarang :