KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Datin Seri Masdiana Muhamad merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) atas tanggungjawab memelihara golongan berkaitan sejak hampir 20 tahun lalu.
Isteri Dato’ Menteri Besar berkata usaha persatuan itu membuktikan keprihatinan masyarakat selain sedia berkongsi kasih sayang dengan mereka yang kurang bernasib baik.
“Negara bertuah kerana masyarakatnya sentiasa berkasih sayang. Kemakmuran selama ini tidak membuatkan rakyat lupa dengan golongan tertentu,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) itu.
Masdiana berkata demikian ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-18 Pernim hari ini.
Dalam majlis itu beliau turut melancarkan buku biografi pengasas Pernim berjudul Aku Seorang Norlina Alawi tulisan Lily Haslina Nasir.
Majlis berlangsung di Dewan Komuniti Setiawangsa, di sini turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian artis veteran Datuk Khadijah Ibrahim dan Alina Hassan.