Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga yang mendapatkan khidmat kaunseling mengalami tekanan dan kemurungan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bantu urus emosi, individu alami tekanan disaran sertai program SEHAT

SHAH ALAM, 10 OGOS: Individu yang mengalami tekanan perasaan disaran menyertai program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi mendapatkan khidmat nasihat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya memandang serius isu kesihatan mental, justeru memperuntuk sejumlan RM1 juta pada tahun ini sebagai usaha menangani masalah berkenaan.

“Kepada mereka yang masih tertekan dengan pelbagai perkara termasuk buli siber, kita di Selangor ada kaedah untuk tanganinya.

“Hubungi SELangkah (aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk dapatkan khidmat nasihat bagi mengawal dan tangani tekanan perasaan serta kesihatan mental,” katanya menerusi video di Tik Tok hari ini.

Amirudin turut meminta masyarakat supaya menghentikan tabiat buli siber berikutan kesannya yang mendalam hingga membawa kematian.

Beliau merujuk kepada kejadian menimpa Shashikala Nagarajah yang meninggal dunia selepas menerima komen kebencian di akaun TikTok.

“Perkara ini sangat menyedihkan dan tidak wajar berlaku di Malaysia, dengan adab dan budaya masyarakat setempat.

“Justeru marilah kita hentikan buli siber kerana kesannya sangat mendalam. Hapuskan buli siber. Marilah kita tangani masalah tekanan dan mental,” katanya.

Shashikala ,44, dilaporkan ‘dibuli secara siber’ berhubung penampilan dan koleksi beg tangannya di media sosial.

Tiga hari sebelum ditemui dalam keadaan parah, mangsa yang menerbitkan video dalam bahasa Inggeris dan Tamil memaparkan kandungan mengenai persekolahan di rumah tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

 


Pengarang :