AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB doa Allahyarham Abdul Khalid ditempatkan di syurga penuh nikmat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia jam 11.08 malam tadi.

Sedih dan hiba mendengar berita kematian itu, Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Inalillahwainailaihirajiun. Sebak dan hiba mendengar berita pemergian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mantan Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Takziah diucapkan kepada keluarga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Jenazah Menteri Besar Ke-14 Selangor itu akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Atas titah dan limpah kurnia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor, meninggalkan seorang isteri iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.


Pengarang :