Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Lebih banyak bantuan, inisiatif disedia bela masyarakat Orang Asli

SHAH ALAM, 9 OGOS: Lebih banyak bantuan dan inisiatif disediakan kepada Orang Asli pada tahun ini bagi membela nasib kehidupan mereka, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya sentiasa mengutamakan kaum berkenaan termasuk penekanan terhadap aspek pendidikan, kebajikan dan insfrastruktur.

“Kerajaan Negeri sentiasa mendengar kehendak dan keperluan mereka. Setiap warga Selangor berhak mendapat kebajikan sewajarnya.

“Semoga masyarakat Orang Asal (Asli) di Selangor terus dibela serta diangkat sewajarnya dan kita lebih menghargai sumbangan serta jasa mereka kepada negeri,” katanya menerusi Facebook sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia hari ini.

Tahun lalu sejumlah RM400,000 dibelanjakan untuk Orang Asli negeri ini merangkumi bantuan kesejahteraan hidup, pendidikan serta bantuan keluarga.

Dana disalur menerusi penganjuran program gotong-royong, menaik taraf kemudahan asas dan juga projek kecil.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bantuan bakul makanan turut diagih kepada ketua keluarga selain dana khusus disediakan bagi pelaksanaan kerja ukur dan pewartaan tanah.

Setakat ini, Selangor memiliki 29 perkampungan Orang Asli melibatkan keluasan 1,672.67 hektar tanah warta.


Pengarang :