AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa peniaga daftar PLATS, lebih 14,000 sudah terima manfaat

SHAH ALAM, 18 OGOS: Peniaga di negeri ini dipelawa menyertai Platform Selangor (PLATS) bagi meluaskan lagi rangkaian perniagaan mereka secara digital.

Dato’ Menteri Besar berkata individu yang berminat menyertai platform digital itu boleh mendaftar menerusi laman sesawang www.platselangor.com

“Sehingga kini, seramai 14,470 peniaga telah memanfaatkan dan mengaut keuntungan melalui PLATS berbanding 10,045 orang berdaftar pada tahun lalu.

“Dengan angka itu, ia sekali gus membuktikan PLATS berupaya melebarkan pasaran produk peniaga untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan menggandakan jualan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :