Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB, pimpinan negeri beri penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdul Khalid

SHAH ALAM, 1 OGOS: Beberapa pemimpin negeri hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Antara yang hadir ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO negeri Dato’ Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Mohd Khairuddin Othman dan Hee Loy Sian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong, ADN Kota Anggerik Najwan Halimi, ADN Sekinchan Ng Suee Lim dan ADN Morib Hasnul Baharuddin.

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang juga menteri besar Selangor ke-14 dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi dan dikafankan.

Atas titah dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.


Pengarang :