Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Rancangan Selangor inisiatif negeri, swasta, persekutuan tingkat kualiti hidup rakyat

SHAH ALAM, 6 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menggabungkan inisiatif Kerajaan Negeri, swasta dan kerajaan pusat bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Dato’ Menteri Besar Kerajaan Negeri menyediakan dana RM7 bilion manakala sektor swasta membiayai kira-kira RM80 bilion bagi menjayakan RS-1.

Sementara sebanyak RM140 bilion disediakan kerajaan pusat seperti digariskan menerusi projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Jadi apakah nikmat diperoleh rakyat? Sudah pasti peningkatan kualiti hidup, contohnya kita menganggarkan penembusan jalur lebar pada kadar 70 peratus jadi keterhubungan (jalur lebar) akan lebih baik dan hanya memerlukan beberapa usaha tersusun.

“Kita juga menganggarkan median pendapatan isi rumah RM9,290 sebulan selain skor indeks kesejahteraan keluarga pada skala 8.0. Kebahagiaan itu diukur dengan alam sekitar terpelihara dan kehidupan bermasyarakat yang baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bercakap dalam bicara Bernama TV malam tadi, beliau turut menjelaskan pelan pembangunan 2021 hingga 2025 negeri berbeza dengan Rancangan Selangor Maju 2005 yang hanya mengambil kira peranan Kerajaan Negeri.

Katanya, RS-1 adalah dokumen rasmi selain dibentang dan dibahas dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas melalui proses kajian oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

“Selangor Maju 2005 sudah melepasi masa, jadi kita tidak boleh terhenti pada satu titik sebaliknya menganjak ke depan. Destinasi kali ini (RS-1) ke arah pemodenan atau pendigitalan serta berdepan cabaran terkini.

“Pada 2005 kita tidak berdepan isu perubahan iklim, perkembangan negeri pintar dan pandemik Covid-19 yang memberi kesan dua hingga tiga kali ganda,” katanya lagi.

Pada 2 Ogos lalu, sidang DNS meluluskan usul RS-1 berjumlah RM212.44 bilion dengan sokongan semua ADN selepas dibahas 28 wakil rakyat.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelaksanaan pelan lima tahun RMK-12.


Pengarang :