Sumber Grafik Media Selangor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: RS-1 pelan bangun negeri, pemangkin ekonomi negara

SHAH ALAM, 6 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bukan sekadar pelan pembangunan negeri sebaliknya menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini kerana Selangor adalah penyumbang terbesar kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau satu per empat daripada pendapatan negara.

Beliau juga yakin pelan lima tahun berkenaan menjadi sandaran kepada kerajaan pusat untuk merangka Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan dalam tempoh terdekat.

“Kita (Kerajaan Negeri dan pusat) kena ada minda dan pemikiran yang betul iaitu tiada pilihan untuk gagalkan antara satu sama lain. Bagi konteks Selangor, kegagalan akan memberi dampak serius kepada ekonomi negara.

“Sebab itu gagal bukan pilihan kepada mana-mana pentadbiran negeri, sebaliknya bagaimana kita kembangkan kecekapan untuk mencapai kejayaan,” katanya dalam bicara Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui hubungan Kerajaan Negeri dan pusat semakin akrab, malah jauh lebih baik berbanding sebelum ini terutama sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Dua tahun setengah hubungan akrab terbina, jadi memudahkan pegawai di kedua-dua agensi bertukar pandangan. Kita buang beberapa keutamaan seperti perbezaan politik dan siapa lebih jaguh sebaliknya menumpukan penyelesaian isu pandemik serta kesan ekonomi.

“Saya harap situasi seperti ini dapat dikekalkan baik di peringkat kementerian mahupun Kerajaan Negeri serta tiada sentimen politik melampau seperti isu penstrukturan Air Selangor yang terpaksa mengambil masa sehingga 10 tahun untuk diselesaikan,” katanya.

RS-1 dibentangkan Amirudin pada 27 Julai membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion, dengan RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan serta memberi kesan kepada Selangor, pelan memacu pembangunan negeri mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Selangor dan persekutuan.

Selain itu, ia dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.

 


Pengarang :