Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor ditadbir berteras saksama, bantu rakyat tanpa kira asal negeri

KLANG, 14 OGOS: Kerajaan Selangor mengamalkan sikap adil dan saksama bagi melindungi semua lapisan masyarakat termasuk kumpulan yang berasal dari negeri lain.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbirannya memberi sepenuh komitmen membantu masyarakat dari segenap aspek antaranya ekonomi, sosial dan pendidikan tanpa ada yang tertinggal.

“Selangor merupakan negeri tumpuan dan seolah-olah menjadi tempat tinggal semua orang. Jadi Kerajaan Negeri akan beri perkhidmatan yang adil supaya dapat melindungi masyarakat.

“Formula ini jadikan Selangor sebagai penyumbang terbesar Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita juga mahu menjadi negeri yang sentiasa beradaptasi dengan pelbagai cabaran serta tahan uji,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Kabaddi Piala Muhibah Klang di Kompleks Sukan Andalas, di sini, hari ini.

Bagi menambah baik kehidupan rakyat, Kerajaan Negeri menawarkan 44 inisiatif menerusi pakej Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan lebih RM600 juta.

Skim menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat turut memperkenalkan 11 insentif baharu antaranya program kesihatan Selangor Saring, Iltizam Anak Penyayang, Saringan Barah dan Selangor Mental Sihat.

Kerajaan Negeri turut melancarkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga.


Pengarang :