Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap ketika sesi sidang media selepas majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di Galeri Jualan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor rangka pelan, tubuh jawatankuasa hadapi kelembapan ekonomi

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri sedang merangka pelan sebagai persediaan menghadapi situasi kelembapan ekonomi yang diramal berlaku pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata pelan itu turut memfokuskan usaha menjana ekonomi rakyat seperti inisiatif yang diambil ketika negeri berdepan pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, kita lihat ada beberapa simptom ke arah kelembapan ekonomi seperti peningkatan inflasi tidak terkawal di samping kegiatan ekonomi yang belum rancak sepenuhnya.

“Langkah diambil ini untuk menjana ekonomi rakyat seperti inisiatif ketika berlakunya pandemik Covid-19 contohnya bakul makanan, pakej rangsangan dan sebagainya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong, di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Raja Salim.

Mengulas lanjut mengenai pelan itu, Amirudin berkata beliau sudah mengarahkan pihak berkaitan untuk menubuhkan jawatankuasa.

“Saya telah mengarahkan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim, Unit Perbendaharaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato’ Haris Kasim) membuat jawatankuasa untuk menilai kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi pada tahun depan.

“Jawatankuasa ini untuk merangka langkah-langkah yang boleh dibuat Kerajaan Negeri pada hari ini dan masa depan jika berlakunya kemungkinan yang dilaporkan ekonomi dunia,” katanya lagi.


Pengarang :