Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Simulasi persediaan banjir dilaksana September ini

SHAH ALAM, 26 OGOS: Simulasi persediaan menghadapi bencana banjir di laksana bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata simulasi itu antaranya berkaitan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.

“Saya telah mempengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri baru-baru ini dan mempersiap segalanya. Pada masa sama, saya minta beberapa projek infrastruktur yang sedang dirancang dilaksana secepat mungkin.

“Kita lebih bersedia kali ini jika berlaku banjir dengan peralatan dan sebagainya berbanding kejadian lalu misi sedikit lewat. Kini kita belajar daripada pengalaman untuk tambah baik jika berlaku banjir termasuk bagaimana proses amaran dibunyikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Raja Salim.

Pada 24 Ogos, Kerajaan Negeri berhasrat memanfaatkan 98 kolam dan tasik di seluruh Selangor dengan membuat sistem penyambungan bagi mengawal air banjir.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata setakat ini pihaknya melalui Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) telah meluluskan 21 kolam buat peringkat awal bagi kerja penyambungan ke sistem rangkaian.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.


Pengarang :