Wakil rakyat Kapayan Jannie Lasimbang (kanan) mengetuai Delegasi Latihan Kepimpinan Wanita Sabah anjuran PACOS Trust melihat pameran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di luar Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tepis tanggapan raih undi PRU-15, RS-1 lanjutan inisiatif pemimpin terdahulu

SHAH ALAM, 6 OGOS: Dato’ Menteri Besar menepis tanggapan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang minggu lalu bertujuan meraih undi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pelan pembangunan lima tahun negeri itu sepatutnya dibentang akhir 2020, namun terpaksa ditunda ke tahun ini susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Kita telah mulakan (rangka RS-1) pada 2020 tetapi pandemik dan kita terpaksa sesuaikan tindakan serta selesaikan kesan yang berlaku. Jadi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi Julai masa terbaik untuk bentang kerana sudah agak lapang.

“Saya terserah kepada persepsi yang ingin dibina, kita bukan hanya berpandangan singkat untuk menuju PRU…memberi gambaran yang memetik dari langit, tetapi memberi petunjuk dengan angka dan trend selain menyambung gugusan diilhamkan sejak 2008,” katanya.

Bercakap dalam bicara Bernama TV malam tadi, beliau turut menjelaskan rancangan terbabit adalah kesinambungan daripada inisiatif dan program diilhamkan pemimpin negeri terdahulu.

“Saya sambung tugas Menteri Besar sebelum ini. Sebahagian projek seperti pembangunan semula Sungai Klang dan Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) selain memperluas program Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.

“Ini (RS-1) bukan impian Amirudin Shari sahaja, tetapi rebakan serta sambungan daripada apa yang terlahir sebelum ini. Saya yakin ia satu dokumen jujur dan rakyat ketika ini tahu apa Kerajaan Negeri mahu buat dalam tempoh lima tahun lagi.

“Terpulang kepada siapa gantikan (Menteri Besar) selepas ini pada tahap tertentu, insya-Allah dengan mandat yang ada dan berakhir tahun depan, kita akan memulakan satu platform kukuh untuk pembangunan negeri secara menyeluruh,” katanya lagi.

RS-1 dibentangkan Amirudin pada 27 Julai membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion, dengan RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan serta memberi kesan kepada Selangor, pelan memacu pembangunan negeri mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Selangor dan persekutuan.

Selain itu, ia dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.


Pengarang :