Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi pergulungan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Tiga anak syarikat negeri disusun semula, tingkat peranan elak bebanan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Tiga anak syarikat Kerajaan Negeri disusun semula supaya lebih terarah dan tidak membebankan satu sama lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diselenggara sejak negeri ditadbir Pakatan Rakyat pada 2008 dan kini Pakatan Harapan.

“Ada yang bertanya kemampuan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri. Tiga anak syarikat (MBI, PKNS, PKPS) sepanjang tempoh pentadbiran telah disusun semula dan diselenggara supaya tidak membebankan satu sama lain.

“PKPS contohnya, ketika kita ambil pada 2008, kedudukan kewangan tidak stabil, tetapi sekarang mampu menjana projek dan meningkatkan hasil kelapa sawit selain menumpukan projek seperti ternakan ayam serta penanaman sayuran

“Begitu juga dengan MBI, kita strukturkan semula supaya tidak ada risiko dividen dan beberapa anak syarikatnya mempunyai kemampuan kewangan berlipat kali ganda hasil pelaburan besar dengan syarikat dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

RS-1 yang dibentang Amirudin pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Pembangunan RS-1 menumpukan empat teras strategik iaitu pengukuhan sektor ekonomi, membina kesejahteraan rakyat dan keterangkuman sosial, memacu agenda kelestarian dan peningkatan kecekapan tadbir urus.


Pengarang :