Ana Raffali membuat persembahan nyanyian ketika Malam Gurindam Shah Alam anjuran MBI di Blackbox SACC Mall, Shah Alam pada 27 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI sokong inisiatif martabat industri seni di Selangor

SHAH ALAM, 28 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus mendukung sebarang inisiatif kesenian dalam usaha memartabatkan industri tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sebarang pertumbuhan kesenian di Selangor khususnya Shah Alam sebagai pusat pentadbiran sentiasa dialu-alukan.

“Sebagai pemegang dan penjaga aset, MBI bertanggungjawab memastikan Selangor diurus dengan baik terutama dalam menjadi negeri pintar menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Untuk tujuan itu bukan sahaja bagi aspek kerajaan, digital dan ekonomi tetapi kesenian juga. Kita tidak boleh kerja sahaja tetapi tiada nyanyian, puisi tidak jadi, tiada kemanisan dan kelembutannya,” katanya semalam.

Beliau berucap pada program Malam Gurindam Shah Alam anjuran MBI yang berlangsung di Blackbox, pusat beli-belah SACC Shah Alam di sini.

Dalam program tersebut, penyanyi Ana Raffali antara selebriti yang memeriahkannya sempena sambutan Hari Kebangsaan selain pemuisi terkenal Pyanhabib dan naib juara program Lawak Solo 2016 Mad Sabah.

Program julung kali diadakan secara percuma itu dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor bertujuan mewujudkan budaya kota seni di Shah Alam selain menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan.


Pengarang :