Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Taman MBPJ bertemakan PJ Love U sempena Pameran Floria Diraja Putrajaya 2022 pada 29 Ogos 2022. Foto Facebook MBPJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ menang anugerah taman kreatif sempena Floria Diraja Putrajaya

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi anugerah taman teknologi dan inovasi kreatif sempena Pameran Floria Diraja Putrajaya 2022.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata taman bertemakan PJ Love U mengungguli kategori agensi kerajaan serta korporat selepas menerapkan konsep landskap rendah karbon.

“Taman ini merupakan manifestasi inisiatif Majlis dalam mengadaptasi dan mempromosikan penggunaan teknologi lestari, amalan hijau serta mengeluarkan karbon yang relatif rendah.

“Ini bagi mengelakkan kesan buruk terhadap perubahan iklim di bandar Petaling Jaya sejajar dengan pelan strategik Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan 2030,” maklum MBPJ di Facebook.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 serta melawat tapak festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berkenan melawat Taman MBPJ sambil diiringi Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir.

Anjung Floria di Presint 4 ditransformasi menjadi hamparan bunga terbesar sepanjang tujuh hari penganjuran pameran bermula semalam sehingga 4 September.

Bertemakan ‘Floria Hebat’ dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini Festival Bunga dan Taman menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies.


Pengarang :