Kakitangan awam mengibarkan Jalur Gemilang ketika program Semarak Jalur Gemilang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ tidak berhasrat kompaun pemilik premis tidak kibar Jalur Gemilang

PETALING JAYA, 19 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak bercadang mengenakan kompaun terhadap pemilik premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata ketika ini MBPJ hanya menggalakkan setiap premis mengibarkan bendera, namun tidak menolak kemungkinan mengenakan kompaun pada tahun akan datang.

“Kita belum ambil apa-apa tindakan jika tidak kibarkan Jalur Gemilang tetapi mungkin pada tahun-tahun akan datang kita mungkin ke arah itu (mengenakan kompaun).

“Sekarang ini kita hanya menggalakkan. Tetapi jika kaedah galakan ini disambut baik, jadi tidak perlu kita mengenakan kompaun,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Jalur Gemilang MBPJ di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ di sini.

Sebelum ini Majlis Bandaraya Ipoh dilapor mengenakan kompaun RM250 kepada pemilik premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata kompaun tersebut selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 107(2) yang menjadi syarat pelesenan untuk premis mengibarkan bendera negara ketika sambutan diraikan.


Pengarang :