Program Kucing Angkat anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA anjur program kucing angkat, tingkat tanggungjawab pelihara haiwan terbiar

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Program Kucing Angkat bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata program melibatkan 10 ekor kucing itu dijalankan sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan edisi Ogos di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Ahad ini bermula 8 hingga 11 pagi.

“Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat serta menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berkata kucing disediakan dalam program itu iaitu semuanya telah divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan selepas ditangkap MBSA di kawasan seperti pasar serta gerai.

Pada sambutan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan kali ini turut diadakan pertandingan Pakaian Paling Kreatif, persembahan Buskers, pancaragam Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kombo MBSA serta ‘face painting’, ‘petting zoo’, aktiviti kraf dari Galeri Shah Alam dan ‘Parrot Brothers’ sempena Hari Kemerdekaan ke-65.

MBSA turut menyediakan pameran dan saringan kesihatan oleh Hospital Shah Alam, klinik memanah dan jualan barangan hiasan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta perkhidmatan seperti pengoperasian pejabat bergerak ‘Shah Alam On Wheels’, perpustakaan bergerak (Mobile Library) dan
pameran SEDA-10 (cari dan musnah Aedes 10 minit).


Pengarang :