Seorang anggota Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) melakukan persiapan pada Jalur Gemilang gergasi sebelum berarak melintasi pentas utama semasa sesi perbarisan pada raptai penuh Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan pada 29 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menetap di perantauan tidak padam rasa cinta, jati diri anak Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Meskipun terpisah jauh lebih 5,000 kilometer dari tanah air, namun tidak sedikitpun pernah memadam rasa cinta wanita ini kepada negara kelahirannya.

Menetap di Jepun sejak 2015 kerana mengikuti suami atas tuntutan tugas, Nazkhalida Fatinuha Ideham, 33, sama sekali tidak membuatkan beliau dan keluarga kecilnya, lupa jati diri dan asal usul.

Malah ibu kepada sepasang cahaya mata itu menekankan penggunaan bahasa kebangsaan di rumah bagi memastikan identiti bangsa terus dipelihara.

“Alhamdulillah walaupun membesar di negara orang, anak sulung fasih berbahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Berkongsi lanjut, beliau berkata walaupun tinggal di negara maju yang mempunyai teknologi canggih, ia tidak dapat menandingi keselesaan ‘berada di rumah sendiri’ dan keadaan itu menyebabkan lulusan Universiti Malaya itu dan suaminya memilih tanah air sendiri sebagai tempat kelahiran dua cahaya mata mereka.

“Kami lebih yakin dengan sistem kesihatan di Malaysia yang lebih mudah dan berpatutan berbanding di Jepun. Tambahan pula kami mahu anak-anak berbangga dengan identiti Malaysia walaupun duduk di luar negara,” katanya.

Tidak hanya itu, Nazkhalida Fatinuha juga memberi pendedahan kepada anak-anak berkaitan budaya dan identiti negara antaranya mengadakan aktiviti mewarna Jalur Gemilang selain membiasakan dengan lagu patriotik termasuk Negaraku.

Bekas peguam itu berkata dua cahaya matanya itu juga turut menggemari makanan tradisional antaranya laksa, soto dan kuih keria selain buah-buahan seperti rambutan dan pulasan.

Pun begitu, ibarat sirih pulang ke gagang anak kedua daripada lima beradik itu bercadang untuk pulang ke tanah air suatu hari nanti dan kembali berbakti di negara sendiri selepas menimba pengalaman di negara matahari terbit itu.

Turut berkongsi perasaan sama, Shaidatul Melissa Nabila Mustain, 32, yang berhijrah ke Sydney, Australia pada 2016 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni tarian dan kemudiannya mengambil keputusan menetap bersama suami dan dua anaknya.

Kongsinya walaupun seronok menimba pengalaman di bumi kanggaru itu, memori membesar di tanah air dan kerinduan kepada ahli keluarga sentiasa membuatkan hati dan dirinya ‘berpijak’ di tanah Malaysia.

“Kami bebas beragama di sini, tetapi kemeriahan seperti ke masjid bersama kawan-kawan seperti zaman kecil tidak dapat dinikmati di sini.

Walaupun jauh dari tanah air, beliau yang berasal dari Taiping, Perak tidak ketinggalan meraikan Hari Kebangsaan dengan cara tersendiri seperti melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti rakyat Malaysia di sana.

Katanya inilah masa terbaik untuk mempromosikan kebudayaan Malaysia termasuk pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu selain makanan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Kongsinya, bagi menerapkan semangat patriotik sejak kecil, beliau turut melibatkan dua anaknya dengan aktiviti seperti mewarna bendera Malaysia selain memperdengarkan lagu kebangsaan.

“Anak-anak sangat suka makan nasi lemak dan roti canai yang setiap makanan itu ada memori yang mengingatkan saya tentang Malaysia.

“…dan saya akan ceritakan pada mereka mengenai pengalaman saya membesar dengan makanan itu dahulu,” katanya yang juga banyak menggunakan Internet sebagai medium memperkenalkan Malaysia kepada dua anaknya.

– BERNAMA


Pengarang :