SHAH ALAM, 9 OGOS: Michael Feichtenbeiner melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Selangor FC yang digalasnya selama setengah musim.
Pasukan itu dalam kenyataan berkata peletakan jawatan tersebut bagi memberi peluang kepada Michael untuk fokus kepada projek pembangunan bola sepak negeri sebagai pengarah sukan yang disandang sejak 2020.
“Pencarian ketua jurulatih baharu sedang dijalankan dan pihak kelab akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja segala penelitian dibuat.
“Tugas tersebut kini digalas pembantu ketua jurulatih Nidzam Jamil yang akan mengambil alih tanggungjawab mengemudi pasukan utama Selangor sebagai ketua jurulatih sementara bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2022,” menurut kenyataan.
Tambahnya, projek pembangunan bola sepak negeri yang dimulakan Michael telah melahirkan ramai pemain muda yang mewakili Selangor FC dan pasukan kebangsaan.
“Kelab percaya projek pembangunan ini wajar diteruskan demi kesinambungan masa depan kelab ini,” katanya lagi.