Lebih 40 unit rumah di Pangsapuri Kasawari, Seri Kembangan melakukan pengubahsuaian secara haram. Foto MPKj
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKj: Pemilik rumah strata mahu ubah suai perlu dapat kebenaran JMB, MC

SHAH ALAM, 26 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menegaskan sebarang pengubahsuaian atau pembinaan struktur di kawasan berstrata perlu mendapat kebenaran Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata mana-mana bangunan berstatus strata tertakluk bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Jelasnya, akta itu memperuntuk pemilik tidak boleh menjalankan sebarang kerja pengubahsuaian tanpa mendapatkan kelulusan bertulis daripada pengurusan perbadanan dan apabila perlu dari pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, pemilik-pemilik kediaman berstrata hanya dibenarkan berbuat demikian dalam petak masing-masing dan bukannya harta bersama. Pihak JMB dan MC adalah bertanggungjawab memastikan penyenggaraan bangunan, urusan pentadbiran serta pengurusan kewangan.

“Namun jika diperlukan, pihak berkuasa tempatan atau majlis boleh memberi nasihat melalui jabatan pesuruhjaya bangunan (COB),” katanya dalam mesyuarat bulanannya, kelmarin.

Sebelum ini, tular kejadian pengubahsuaian secara haram di Flat Kasawari , Seri Kembangan melanggar asas kehidupan strata.

Lebih 40 unit dikesan membina tambahan bangunan, memasang gril di luar unit, membina halangan di kawasan harta bersama.


Pengarang :