Pengasuh Adibah Nor Mokles, 32, melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MTUC sokong Selangor beri insentif syarikat wujud pusat asuhan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik cadangan Kerajaan Selangor menawarkan insentif khas kepada syarikat yang mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di pejabat.

Presidennya berkata langkah terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) wajar dicontohi majikan dan syarikat negeri lain supaya golongan terbabit tidak mengambil jalan mudah berhenti kerja ekoran kekangan menjaga anak yang masih kecil.

Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani

Mohd Effendy Abdul Ghani menjelaskan usaha itu mampu mengurangkan tekanan wanita di pejabat sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

“Langkah Kerajaan Selangor bertepatan kerana ketika ini ramai wanita bekerjaya yang memiliki anak kecil. Jika ada pusat asuhan di pejabat, mereka boleh fokus terhadap tugas masing-masing.

“Jadi kita amat mengalu-alukan cadangan ini dan mungkin perlu menjadi ikutan kepada syarikat atau Kerajaan Negeri lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Dalam pada itu, beliau difahamkan satu memo dikeluarkan pada 2017 meminta syarikat swasta dan awam di negara ini menyediakan pusat asuhan kanak-kanak sebagai sistem sokongan kepada ibu bapa bekerja khususnya ibu menyusukan bayi.

“Bagaimanapun tiada insentif ditawarkan kepada syarikat terbabit yang berbuat demikian dan sambutan daripada syarikat awam lebih tinggi berbanding syarikat swasta ketika itu,” katanya.

RS-1 dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai lalu mencadangkan penubuhan pusat asuhan kanak-kanak bagi memudahkan golongan wanita bekerja.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan itu mendorong lebih ramai wanita kekal bekerja seterusnya menyumbang sasaran 75 peratus penyertaan golongan terbabit dalam pasaran kerja menjelang 2025.

Inisiatif itu dimulakan dengan agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri selain mewajibkan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak serta bilik khas untuk penyusuan bayi di semua premis pihak berkuasa tempatan.

 


Pengarang :