Aksi perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 21 Ogos 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Nafuzi Zain nafi terima tawaran jurulatih Selangor FC musim depan

KUALA NERUS, 27 OGOS: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menafikan spekulasi akan berpindah ke skuad Gergasi Merah Kuning musim depan.

 Pengendali kelahiran Kelantan itu menegaskan bahawa tumpuan beliau pada masa ini hanya kepada persiapan menghadapi baki enam perlawanan Liga Super dan aksi akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim pada 10 Sept ini.

“Tawaran daripada Selangor itu hanya khabar angin. Itu normal, biasa terjadi dalam dunia bola sepak.

“Tetapi saya anggap khabar angin ini sebagai satu penghargaan juga kerana sekurang-kurangnya penyokong masih ingat dan hargai kewujudan saya, walaupun benda ini tak wujud pun sebenarnya,” katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu, Nafuzi meminta semua pihak supaya menghentikan spekulasi berkenaan kerana masih terlalu awal untuk beliau memikirkan tentang hala tujunya musim depan.

Bagaimanapun katanya, sebagai jurulatih profesional beliau sentiasa terbuka untuk menerima dan berbincang dengan mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.

“Saya juga belum tanda tangan kontrak baharu dengan TFC. Belum ada perbincangan ke arah itu setakat ini,” katanya yang sedang giat membuat persiapan untuk menentang Melaka United pada 3 Sept ini.

Dalam pada itu, Nafuzi turut menafikan bahawa beliau mempengaruhi keputusan pemain berbakat besar Faisal Halim untuk meneruskan kontrak bersama TFC.

Sebelum ini media melaporkan Faisal berkata beliau mahukan keputusan yang wajar bagi menentukan masa depannya dan kedudukan Nafuzi sebagai jurulatih amat penting.

“Itu pandangan peribadi dia (Faisal Halim). Mungkin dia selesa dengan cara kerja saya. Faisal dari tahun lepas memang tunjuk peningkatan yang banyak dan beliau sendiri merupakan contoh kepada pemain muda TFC,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :