Nasi lemak antara makanan popular Malaysia yang menjadi ‘rebutan’ rakyat China khususnya di Beijing dan komuniti kedutaan pada ‘Malaysia Truly Asia Festival 2022 Food Week’ yang berlangsung sehingga 30 Ogos 2022. Foto Wikipedia
AGENDANASIONAL

Nasi lemak, durian jadi ‘rebutan’ rakyat China dalam festival makanan

BEIJING, 26 OGOS: Nasi lemak, durian dan sate antara makanan popular Malaysia yang menjadi ‘rebutan’ rakyat China khususnya di Beijing dan komuniti kedutaan pada ‘Malaysia Truly Asia Festival 2022 Food Week’ di sini yang bermula semalam hingga Selasa ini.

Zhou Xin, 55, dari Beijing yang mengetahui program itu daripada rakannya berkata beliau rambang mata apabila melihat pelbagai jenis makanan yang baginya kelihatan menarik dan mempunyai rasa berbeza.

Sambil teruja menunjukkan sebiji durian, Zhou turut menyatakan hasratnya untuk berkunjung ke Malaysia selepas sempadan negaranya dibuka sepenuhnya.

“Saya tidak pernah ke Malaysia. Ke mana sahaja saya pergi, saya akan cuba menikmati setiap makanan di tempat itu. Saya sangat teringin ke Malaysia. Jika rakan rakyat Malaysia boleh membantu saya mencari makanan di sana nanti, saya rasa kunjungan saya sememangnya berbaloi,” katanya yang sempat menikmati nasi ayam dan nasi lemak.

Kira-kira 200 orang menghadiri program di China World Hotel, di tengah-tengah kota Beijing itu semalam dengan lebih 50 aneka makanan dan kuih-muih tradisi Malaysia dihidangkan secara bufet.

Antara menu yang turut dihidangkan sepanjang minggu makanan berkenaan ialah nasi tomato, nasi ayam Ipoh, rendang daging, roti jala, roti canai, ais kacang, kuih ketayap, kuih seri muka dan kuetiau goreng.

Duta Austria ke China Andreas Riecken berkata beliau mendapati produk berasaskan durian seperti aiskrim dan tiramisu sangat sedap dan unik serta harus dicuba rakyat China yang datang ke minggu makanan berkenaan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin yang melancarkan program itu berkata ia merupakan jendela untuk rakyat China mengenali Malaysia dengan lebih dekat terutama dari aspek makanan.

“Kita mahu mereka merasakan makanan yang betul-betul asli dan boleh membangkitkan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia setelah sempadan China dibuka sepenuhnya,” katanya.

Minggu makanan berkenaan merupakan sebahagian daripada program Malaysia Truly Asia Festival 2022 yang dianjurkan Kedutaan Malaysia di China, Tourism Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (MAYCHAM) di China bermula 15 hingga 31 Ogos ini bersempena Hari Kebangsaan.

Selain minggu makanan, antara program lain yang telah dianjurkan ialah Pameran Seni Peranakan serta Forum Kesihatan dan Nutrisi Minyak Sawit ke-17 manakala majlis resepsi bersempena Hari Kebangsaan pula akan diadakan pada 31 Ogos ini.

-BERNAMA


Pengarang :