Sesi pembelajaran dijalankan pusat Anak Istimewa Selangor (AnIS) untuk membantu kanak-kanak terlibat meningkatkan kemahiran diri dan boleh berdikari. Foto Facebook AnIS
AGENDANASIONAL

Negeri bangunkan prasekolah khas untuk murid autisme, sindrom down

SHAH ALAM, 3 OGOS: Selangor membangunkan Prasekolah Khas AnIS pertama di negeri ini bagi menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid yang berdepan masalah pembelajaran.

Inisiatif yang dibuka untuk murid lima dan enam tahun menumpukan penghidap autisme, sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kanak-kanak lewat perkembangan (GDD).

Menurut EXCO pembangunan wanita dan keluarga, murid di sekolah berkenaan bakal mengikuti kelas intervensi awal selama empat hari seminggu dalam tempoh empat jam setiap sesi.

“Pada pertengahan dan penghujung sesi persekolahan, murid akan menerima laporan komprehensif meliputi perkembangan dan prestasi sepanjang intervensi,” kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha terbaharu Kerajaan Negeri bakal menjadi penanda aras kepada pengusaha tadika lain untuk mengambil langkah sama bagi membantu murid berkeperluan khas.

Beliau turut mempelawa ibu bapa membawa anak istimewa menghadiri prasaringan kemasukan pada 6 Ogos ini mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari di Jalan Plumbum 7/100A, Seksyen 7, Shah Alam.

Pendaftaran awal boleh dibuat melalui pautan https://bit.ly/3ShFTwN. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang https://www.anisselangor.com/pusatanis.

Syarat kelayakan permohonan seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia
  • Ibu, bapa atau penjaga lahir di Selangor atau menetap di Selangor minimum 10 tahun
  • Golongan berpendapatan rendah (B40) atau menengah (M40)
  • Murid pernah mengikuti program intervensi awal minimum setahun

 


Pengarang :