Pengunjung tertarik dengan model rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor di Central i-City, Shah Alam pada 12 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri tekad pastikan lebih ramai rakyat miliki rumah selesa, harga berbaloi

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri bertekad untuk memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman berkualiti, selesa dan selamat selaras dengan pelan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata selain meningkatkan pembinaan rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga membantu penduduk memiliki kediaman menerusi Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah di negeri ini sekali gus menawarkan kediaman yang menjamin kesejahteraan keluarga.

“Saya berharap pemaju swasta juga dapat membantu dengan membina lebih banyak rumah mampu milik,” katanya ketika berucap dalam Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Shah Alam/ Kuala Selangor 2022 di sini, hari ini.

“Pada masa kini, cabaran golongan muda ialah kelulusan pinjaman dan sebab itu Kerajaan Negeri memperkenal skim tersebut sejak 2015 lagi.

“Inisiatif ini (2STAY) yang kita tawar bagi bantu golongan muda. Jika tidak mampu beli rumah sekarang, mereka boleh membelinya pada masa depan.”

Majlis yang berlangsung di Central i-City turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Selangor Datuk Zaini Yusoff.

Pada 13 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sebanyak 130,545 unit rumah mampu milik dibina Kerajaan Selangor bagi memastikan penduduk negeri ini memiliki kediaman selesa.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 78,132 rumah menerusi 31 projek dibina bagi Rumah Selangorku Idaman dan 52,413 rumah menerusi 45 projek bagi Rumah Selangorku Harapan.

Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan dibina agar rakyat Selangor dapat memiliki kediaman selesa selain boleh memanfaatkannya menerusi 2STAY.

Skim tersebut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.


Pengarang :