Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam kepada Tan Sri Paduka Wan Mahmood Pa’wan Teh pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-37 pada 13 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Orang Besar Daerah Gombak dikurnia ijazah kehormat doktor falsafah

SHAH ALAM, 13 OGOS: Orang Besar Daerah Gombak Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh dikurnia Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Transformasi Komuniti dan Dakwah Islam hari ini.

Penganugerahan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-37 bagi menghargai jasa dan bakti beliau dalam pembangunan komuniti di Gombak, lapor Bernama.

Wan Mahmood, 92, yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor menerima skrol ijazah kehormat daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bekas pesara kerajaan itu merupakan penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dari 1983 hingga kini.

Wan Mahmood yang turut berkhidmat sebagai patron untuk 46 masjid dan 275 surau di Gombak antara 127 graduan doktor falsafah yang diraikan dalam sidang pertama majlis tersebut.

Sementara itu, Tunku Azizah yang juga ketua perlembagaan UIAM dalam titah Baginda menzahirkan tahniah kepada semua graduan UIAM dan penerima anugerah yang diraikan.

“Ketika anda memulakan perjalanan baharu, peganglah nilai-nilai yang anda peroleh dari UIAM, sebuah institusi yang bermatlamat untuk melahirkan individu sejahtera, memiliki kualiti luar biasa, memimpin dunia berpandukan ilmu dan empati, membawa rahmat kepada semua.

“Beta amat berharap institusi ini telah membentuk anda menjadi seorang yang khair, cendekiawan yang termaju dalam setiap disiplin ilmu, menawarkan penyelesaian dan kejayaan. Beta mendoakan yang terbaik dalam usaha seterusnya,” titah Baginda.


Pengarang :