Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekerja asing perlu jalani saringan kesihatan elak urban malaria

JOHOR BAHRU, 12 OGOS: Majikan diminta membuat saringan kesihatan terlebih dahulu ke atas pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia bagi mengelak penularan urban malaria seperti yang berlaku di Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata meskipun begitu, keadaan masih terkawal dan setakat ini belum ada kes kematian dilaporkan di negeri itu ekoran penularan tersebut.

“Kita kena pastikan pekerja asing ini jalani saringan kesihatan sebelum memulakan kerja.

“Kebanyakan malaria yang dibawa masuk adalah dari Afrika, jadi saringan kesihatan sangat penting supaya kita boleh mengenal pasti daripada peringkat awal lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat Negeri Johor di Bandar Dato’ Onn di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Menurut Dr Noor Hisham kes malaria yang dilaporkan merupakan bukan kes tempatan tetapi yang dibawa masuk, justeru saringan kesihatan adalah penting untuk dilaksanakan sebelum pekerja luar ini dibawa masuk.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penularan urban malaria di Pulau Pinang berikutan kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi di negeri itu yang tidak diketahui status kesihatan mereka.

Ketika ditanya mengenai virus Lagya yang kini dilaporkan menjangkiti puluhan warga China, Noor Hisham berkata kementeriannya kini memantau secara dekat mengenai perkembangan tersebut selari dengan apa yang dilakukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Jangkitan itu bersifat jangkitan setempat, ia tidak merebak lagi. Bagaimanapun, kita sedang memantau (perkembangannya), begitu juga dengan WHO,” katanya menambah setakat ini tiada jangkitan dilaporkan di negara ini.

Dua hari lepas, China telah mengeluarkan amaran mengenai virus Lagya selepas puluhan rakyat negara itu dijangkiti virus tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :