Petugas kesihatan memeriksa tekanan darah salah seorang peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peluang saring kesihatan secara percuma di empat DUN minggu ini

SHAH ALAM, 17 OGOS: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri yang menerima sambutan baik sejak diperkenal bakal diteruskan lagi ke empat lokasi hujung minggu ini.

Lokasi berkenaan meliputi Dewan Serbaguna Taman Ehsan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan dan Event Hall Atrial Mall, Petaling Jaya (DUN Bandar Utama) pada 20 Ogos.

Sementara pada Ahad pula berlangsung serentak di Dewan Kampung Permata, Kundang (DUN Kuang)
Dewan Heritier Hall, Seksyen 24 (DUN Batu Tiga).

Menurut EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, kebanyakan peserta yang telah menyertai program tersebut menghargai inisiatif negeri selain berharap ia diteruskan lagi.

“Menyedari pelbagai implikasi kesihatan sama ada yang berpunca dari penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, maka Selangor Saring boleh dianggap sebagai pelan tindakan kesihatan yang proaktif.

“Tidak keterlaluan juga jika inilah antara inisiatif terbaik dari Kerajaan Selangor. Ingat, ia tidak murah, malah antara cara nikmat kemakmuran negeri dikongsi bersama,” katanya di Facebook.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :