Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pemansuhan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Pemansuhan keperluan mengisi dan melengkapkan ciri-ciri (feature) Kad Pengembara (Traveller’s Card) dalam aplikasi MySejahtera adalah terpakai kepada semua pengembara warganegara dan bukan warganegara tanpa mengira status vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keperluan vaksinasi bagaimanapun masih tertakluk kepada ketetapan syarikat penerbangan.

“Pemansuhan ini juga bermaksud tiada lagi keperluan menjalani ujian saringan praperlepasan, ujian saringan Covid-19 sewaktu ketibaan dan perintah kuarantin.

“Bagaimanapun, aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia masih diteruskan dan dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemansuhan berkenaan yang berkuat kuasa Isnin lepas diumum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy dilapor berkata kelonggaran itu diputuskan berikutan keadaan sistem kesihatan kini berada pada tahap baik dan terkawal serta bertujuan untuk memudahkan prosedur kemasukan pengembara ke negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan mengalami demam melalui pengimbas suhu ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan.

“Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti Covid-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain penyakit berkaitan, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi SOP ditetapkan dan dinasihatkan untuk pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.

“Jika terdapat sebarang permasalahan, sila rujuk laman sesawang MySejahtera https://mysejahtera.moh.gov.my/ms/ atau hubungi meja bantuan interaktif kami,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :