Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudun Shari berucap sempena Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Genting Highlands Hulu Selangor di Geo Resort dan Hotel, Genting Highland pada 23 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pembangunan Genting Highlands Hulu Selangor, orang awam diajak kongsi idea

BENTONG, 23 OGOS: Orang awam berpeluang meneliti keseluruhan laporan draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Genting Highlands Hulu Selangor sehingga 15 September depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peluang selama sebulan mulai 16 Ogos lalu harus dimanfaatkan terutama pihak berkepentingan, pemegang taruh serta persatuan.

“Pihak-pihak ini termasuk penduduk dan pemilik tanah boleh mengemukakan cadangan, bantahan atau mahu kongsi kaedah pembangunan supaya kita dapat lihat semula perkara ini.

“Segala cadangan, bantahan diangkat kepada pihak jawatankuasa yang turut dianggotai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian.  Penelitian segala cadangan itu mungkin bermula Oktober atau November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Genting Highlands Hulu Selangor di sini, hari ini.

Laporan berkenaan boleh disemak di di Lobi Majlis Perbandaran Hulu Selangor atau Pejabat PLANMalaysia Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

Draf terbabit merupakan rancangan meningkatkan potensi pembangunan tanah sekitar Genting Highlands yang berada dalam kawasan Hulu Selangor.

Dokumen itu juga bakal menjadi garis panduan bagi melaksanakan pembangunan lestari yang tidak akan memberi dampak negatif kepada alam sekitar.


Pengarang :