Peserta membuat pendaftaran ketika program Selangor Saring DUN Dusun Tua di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Hulu Langat pada 26 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pemeriksaan kesihatan percuma di tiga DUN esok, lusa

SHAH ALAM, 12 OGOS: Program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri bakal diadakan di tiga lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada esok dan Ahad ini.

Tiga lokasi terbabit adalah Dewan Rozel MBSA Seksyen U6 bagi DUN Kota Damansara, Dewan Rafflesia MBSA (DUN Kota Anggerik) dan Dewan Teratai Batu 17 Rawang (DUN Rawang).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dalam perkongsian di Facebook berkata program Selangor Saring di DUN Kota Damansara akan berlangsung esok, manakala di DUN Kota Anggerik dan DUN Rawang diadakan pada Ahad.

Beliau berkata program itu bertujuan mendidik rakyat untuk mengambil tahu mengenai tahap kesihatan diri dan seterusnya melaksanakan pencegahan awal.

“Semua maklum, kos kehidupan semakin meningkat. Begitulah juga kos rawatan kesihatan.

“Ingat … sihat dan cergas itu adalah sebahagian besar dari nikmat kehidupan. Jangan bertangguh lagi, ayuh daftarlah segera,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :