Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Pemilik syarikat dijel, denda RM10,000 guna dokumen palsu tender bekal makanan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Seorang pemilik syarikat swasta dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari kerana menggunakan dokumen palsu ketika menyertai tender terbuka bagi perkhidmatan pembekalan makanan di asrama sebuah sekolah di Terengganu, berjumlah lebih RM2 juta.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hairul Nizam Hussin, 31, yang mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank milik syarikatnya, Azam NJ Resources bertarikh 30 Julai 2018 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pada Oktober 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan dipenjara 10 bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda tersebut.

Terdahulu, Muhammad Hairul Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah dengan alasan dia menanggung keluarga serta seorang isteri yang sedang mengandung dua bulan dan menjaga dua anak arwah kakaknya.

Berdasarkan fakta kes, syarikat Azam NJ Resources merupakan syarikat milikan tunggal yang didaftarkan atas nama tertuduh dan dia telah menyertai tender secara terbuka untuk perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama di sebuah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu berjumlah RM2,793,369.60.

Muhammad Hairul Nizam kemudian telah memuat naik beberapa dokumen iaitu keterangan mengenai petender, kepatuhan terhadap kelayakan pengurus dan penyelia asrama, borang sumber kewangan, jadual harga mengikut sajian, senarai jenama bahan-bahan makanan yang digunakan serta penyata akaun bank syarikat itu bertarikh 30 Julai, 31 Ogos dan 30 Sept 2018.

Berikutan itu, tertuduh telah hadir ke Kementerian Pendidikan Malaysia dan menerima Surat Setuju Terima bagi pelantikan tersebut dan telah mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank syarikat miliknya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.

– BERNAMA


Pengarang :