AGENDANASIONAL

Pendapatan kembali stabil, asnaf mohon tamat bantuan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seorang penerima zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) memohon supaya bantuan yang diterima ditamatkan susulan keadaan kewangannya yang semakin baik.

Penerima bantuan daripada LZS cawangan Bandar Baru Bangi menyatakan hasrat itu menerusi sepucuk surat yang dikongsi menerusi Facebook rasmi LZS.

“Ustaz, saya nak keluar asnaf. Insya-Allah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat,” tulisnya dalam sepucuk surat kepada LZS.

Menurut LZS, susulan itu pihaknya menghubungi asnaf terbabit untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hasratnya bagi mendapatkan kepastian.

Surat bertarikh 12 Ogos 2022 yang dihantar seorang asnaf yang meminta Lembaga Zakat Selangor menamatkan bantuan mulai bulan depan selepas kewangannya kembali stabil. Foto Facebook LZS

“Dalam surat bertarikh 12 Ogos, asnaf itu memaklumkan bahawa pendapatannya akan kembali stabil pada September ini dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada pengurusan zakat di Bandar Baru Bangi.

“Semoga asnaf ini akan terus berjaya melalui saat getir ketika ini,” kongsi LZS.

Pada 12 Mei lalu, portal ini pernah melaporkan seorang penerima zakat menghantar surat kepada LZS supaya menghentikan bantuan kepadanya selepas pulih daripada masalah kesihatan.

Agensi itu memaklumkan penerima itu sebelum ini menjalani pembedahan esofagus yang memerlukannya berehat dan tidak boleh bekerja atas nasihat doktor.

LZS turut berkongsi surat dihantar lelaki itu bertarikh 25 Februari lalu antaranya menyatakan pendapatannya sudah mampu menanggung keluarga dan mohon supaya bantuan zakat dihentikan.


Pengarang :