Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Subang Jaya dipelawa sertai saringan kesihatan percuma 28 Ogos

SUBANG JAYA, 14 OGOS: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dipelawa mengikut program Selangor Saring yang diadakan pada 28 Ogos ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze memaklumkan pihaknya memperuntuk 1,000 peserta untuk menyertai program saringan kesihatan percuma di Kompleks 3K Subang Jaya.

“Program ini dianjurkan Kerajaan Negeri bagi membolehkan mengesan awal penyakit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, barah payu dara dan barah prostat.

“Penduduk di sekitar kawasan disaran mendaftar segera kerana peluang hanya sekali selain kuota 1,000 peserta sahaja. Mereka boleh datang secara terus (walk in) ke program tetapi keutamaan kepada yang sudah mendaftar,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Michelle memaklumkan beliau akan melakukan lawatan ke beberapa kawasan sekitar Subang Jaya untuk melakukan pendaftaran khusus untuk warga emas.

“Lawatan akan dilakukan bermula esok (hari ini) di pasar SS15 seterusnya di taman permainan USJ4 (20 Ogos), pasar pagi PJS 7 (21 Ogos) dan taman permainan USJ14 (22 Ogos).

“Bagi golongan muda pula mereka boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). Namun, sekiranya mempunyai masalah pendaftaran boleh datang ke pejabat pusat khidmat masyarakat,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :