Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penganggur ditahan tampar, pijak kepala anak hingga cedera

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Seorang penganggur ditahan kerana disyaki sengaja menyebabkan kecederaan dengan menampar dan memijak kepala anak perempuannya berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Saga, Ampang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian lelaki berusia 50 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol dan bertengkar dengan isterinya yang merupakan ibu mangsa berkaitan wang.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai menyuruh isterinya meminta duit daripada ahli keluarga yang lain, namun dia enggan menyebabkan suspek marah dan menarik rambut ibu mangsa.

“Kemudian suspek meminta mangsa yang melihat kejadian itu, menemani ibunya ke rumah ahli keluarga yang lain namun anak perempuannya itu enggan menyebabkan dia berang lalu menampar kepala sebelah kanan, memukul serta memijak kepala remaja tersebut.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang dan semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya suspek direman hingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :