Suasana orang ramai yang berkunjung ke Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 7 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengunjung dari Selangor menang pertandingan anjuran Nafas di MAHA 2022

SERDANG, 14 OGOS: Seorang pengunjung dari Selangor, Mohd Aziz Mohd Rawi menjadi pemenang utama peraduan Jawab dan Menang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Mohd Aziz, 38, yang membawa pulang bar emas seberat 50 gram merupakan seorang daripada lebih 20,000 pengunjung menyertai pertandingan itu.

Pemangku Pengurus Besar Nafas Saripol Baharin Karim berkata Mohd Aziz juga merupakan seorang daripada tujuh pemenang menerusi cabutan hari ini bagi peraduan yang turut menawarkan hadiah seperti telefon bimbit, basikal lipat, tablet, seterika wap dan televisyen.

“Pada hari ini, kita telah memilih tujuh pemenang sesi cabutan bertuah bagi peraduan jawab dan menang. Antara hadiah yang ditawarkan adalah telefon pintar jenama Samsung Galaxy S20 FE dan Samsung Galaxy A52, basikal lipat jenama Java Zelo 20 inci, Samsung Galaxy Tab A7 Lite dan televisyen jenama Sharp 42 inci,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis cabutan berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob.

Saripol Baharin turut berterima kasih kepada pengunjung yang menyertai pertandingan itu selain mengikuti program Nafas sepanjang MAHA 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berjaya menjual lebih 2,000 ekor ayam sejuk beku dalam pek sekilogram sempena jualan Happy Hour Nafas menerusi pameran berkenaan.

“Selain ayam pek, Nafas menawarkan pelbagai produk ayam seperti ayam potong sekilogram, ayam potong 14, paha ayam tanpa tulang, filet ayam dan ayam super yang dijual pada harga istimewa.

“Nafas mempunyai misi dalam memenuhi keperluan dan permintaan pengguna dalam industri makanan halal yang lestari melalui pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta pemasaran,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :