Pengusaha produk halia hitam, N Sivasundram (kiri) menerima penerangan berkenaan aplikasi PayHalal ketika program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri 4 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengusaha produk halia hitam ikuti jelajah digital empat kali, tagih ilmu lebar niaga

KUALA SELANGOR, 7 OGOS: Seorang pengusaha produk halia hitam tidak jemu mengikuti Jelajah Usahawan Digital Selangor kali empat berturut-turut tahun ini bagi memastikan perniagaan dapat berkembang lebih maju.

N Sivasundram berkata pengisian program adalah berbeza bagi setiap jelajah dan secara tidak langsung beliau mendapat ilmu baharu setiap kali mengikuti program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

“Gombak, Batang Kali, Petaling dan sekarang di sini. Setiap kali datang saya akan dapat info baru walaupun mereka yang memberi penerangan adalah dari agensi yang sama.

“Produk saya baru tiga tahun di pasaran dan memerlukan kaedah yang betul untuk mendapat kepercayaan orang ramai dan sebab itu saya datang ke program seperti ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini, semalam.

Beliau antara 200 usahawan sekitar Kuala Selangor menyertai program latihan secara percuma bagi mendapatkan ilmu e-dagang daripada pemain industri terlatih.

Sementara itu, peniaga rempah ratus, Mimi Noraini mengakui selepas beralih kepada jualan secara dalam talian, jualan perniagaannya meningkat sebanyak 30 peratus.

“Saya menjalankan perniagaan secara terus sebelum ini, namun akibat Covid-19 jualan produk menurun dengan ketara. Selepas cuba beralih dalam talian saya dapati hasil jualan kembali meningkat.

“Jadi saya datang ke sini untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan jualan secara digital dan penerangan yang diberikan agensi yang datang memang memberi manfaat,” katanya.

Jelajah usahawan digital yang mula diperkenalkan sejak 2020 akan berkunjung ke semua daerah sehingga September ini.

Program adalah instrumen penting bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan rakan kerja seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Pengarang :