BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Penulis lirik lagu rasmi Selangor, Negaraku berbakat, gubah banyak lagu patriotik

NOTA EDITOR: Artikel ini disediakan sebelum Kerajaan Negeri menghadiahkan rumah bernilai RM1 juta kepada waris Saiful Bahri Elyas, pencipta lagu rasmi Selangor, yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Anugerah itu diserah kepada anak-anaknya dalam majlis sambutan menjelang Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos.

Saiful Bahri terkenal sebagai seorang pengubah, penulis lirik dan ahli muzik berbakat besar yang pernah bertugas sebagai pengarah muzik Filem Negara (kini dikenali Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

Duli Yang Maha Mulia
Selamat di atas takhta
Allah lanjutkan usia Tuanku
Rakyat mohon restu
Bawah Duli Tuanku
Bahagia selama-lamanya
Aman dan sentosa
Duli Yang Maha Mulia

Itu lirik lagu Duli Yang Maha Mulia, lagu rasmi Selangor yang mula diperkenal pada 1967. Gubahan lagu hasil sentuhan Saiful Bahri Elyas itu yang turut mencipta seni kata lagu Negaraku menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-65, wartawan Amin Ridzuan Ishak dan jurugambar Hafiz Othman menemu bual anak bekas pengarah muzik Filem Negara (kini dikenali Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Qus Nafiah untuk mengetahui susuk yang disifatkan mempunyai bakat mencipta karya malar segar sama dengan Tan Sri P Ramlee.

Tidak ramai dalam kalangan rakyat negara ini tahu mengenai Saiful Bahri. Beliau menumpahkan jasa kepada Tanah Melayu dan kemudian Malaysia dengan lirik-lirik gubahannya. Karyanya terkenal dan disiul sepanjang masa bagi membangkitkan semangat patriotisme.

Anak bekas pengarah muzik Filem Negara (kini dikenali Finas), Qus Nafiah ketika ditemu bual baru-baru ini. Foto HAFIZOTHMAN/SELANGORKINI

Pemuzik itu yang meninggal dunia pada usia 52 tahun mencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor serta Melaka. Beliau turut menggubah banyak lagu patriotik. Paling diingati Inilah Barisan Kita, Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air.

Mendengar lagu patriotik ciptaaan anak kelahiran Payakumbuh, Sumatera Barat itu pasti membakar semangat. Contohnya, lagu Inilah Barisan Kita yang dicipta ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada sekitar 1963-1966. Suara lantang penyanyinya Jamaluddin Alias menjadikan lagu itu lebih bersemangat untuk didengar.

Lagu itu turut kerap dinyanyikan penyokong pasukan negara ketika perlawanan sukan untuk membakar semangat juang pemain. Ketika episod pencerobohan kumpulan yang mendakwa waris kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013, lagu itu didedikasikan pula kepada pasukan keselamatan tanah air.

Dalam membangkitkan moral petugas barisan hadapan ketika berdepan Covid-19 mulai Mac 2020, lagu itu kembali diputar. Kesimpulannya, karya Saiful Bahri meninggalkan kesan sehingga kini sama seperti lagu dan filem P Ramlee.

“Meremang bulu roma bila mendengar lagu ayah sampai sekarang,” kata anak ketiganya, Qus Nafiah ketika ditemui Selangorkini pada 21 Julai lalu.

Salinan surat berkenaan ciptaan lagu rasmi Selangor oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Ismail Abdul Kadir kepada Saiful Bahri Elyas. Foto koleksi peribadi Qus Nafiah

Hijrah ke Malaysia

Banyak kisah mengenai ayahnya diceritakan oleh ibu Qus Nafiah, Noraini Ahmad, yang mendirikan rumah tangga pada 1968. Mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Selain Qus Nafiah, anak mereka yang lain adalah Norah Savitri, 52, Soufinaranti, 50, Nurul Adzan, 48, dan adik tunggal lelaki yang diberi nama sama dengan nama bapanya, Saiful Bahri Ahmad, 45.

Saiful Bahri terus aktif mencipta lagu apabila berhijrah ke Tanah Melayu pada 1959.

Tamat kontrak dengan Filem Negara, beliau kembali ke Indonesia pada 1973 bersama dengan Noraini, Qus Nafiah dan Nurul Adzan, yang dilahirkan di negara itu. Saiful Bahri meninggal dunia tiga tahun kemudiannya akibat penyakit jantung ketika bekerja di Tokyo, Jepun.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Kusir, Kebayoran Lama, Jakarta atas permintaan isteri pertamanya R Suratmi. Selepas pemergian Saiful Bahri, mereka kembali tanah air untuk meneruskan kehidupan.

Cipta lagu Selangor

Cerita Noraini kepada anak-anaknya sebelum meninggal dunia pada Disember 1999, Saiful Bahri seorang yang berbakat dan banyak lagu dicipta dalam masa singkat sahaja. Lagu rasmi Selangor contohnya disiapkan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

“Begitulah hebat ayah, lirik mengalir seperti air sahaja. Ibu pernah cerita, ayah keluar dari tandas terus cari pen dan kertas…rupanya beliau mahu tulis idea bimbang terlupa.

“Kalau duduk-duduk untuk mencari cari ilham lagu baharu, mesti ada kopi O pekat dan rokok,” ujar Qus Nafiah.

Pada 1966, Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj memohon supaya Saiful Bahri mencipta lagu rasmi negeri dengan menggabungkan elemen kebudayaan, kebangsaan dan keagamaan.

Ketika mencipta lagu berkenaan, bekas pengarah muzik Filem Negara itu mengamati persekitaran dan gaya hidup masyarakat untuk mendapatkan ilham. Ketika dipersembahkan buat pertama kali kepada Sultan Salahuddin di studio Filem Negara, Jalan Ampang, Baginda berkenan menerimanya sebagai lagu rasmi Selangor.

Karya gubahan dan susunan Saiful Bahri itu dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas dipersetujui Dewan Diraja Selangor dan diperkenan Sultan Salahuddin bagi menggantikan lagu pertama negeri Cantik Manis.

Bagi menghargai jasa Saiful Bahri, Baginda mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor kelas ketiga.

Sehingga kini, Qus Nafiah dan adik-beradiknya lain sebagai waris Saiful Bahri masih menerima royalti setiap kali lagu patriotik ciptaan bapanya dimainkan.

Koleksi gambar peninggalan Allahyarham Saiful Bahri Elyas. Foto koleksi peribadi Qus Nafiah

Dilamar Tunku

Perjalanan seni Saiful Bahri di Malaysia bermula ketika beliau dilamar Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mengenalinya sebagai pemuzik di Studio Orkes di Indonesia.

Menggunakan nama samaran Surya Buana (SB) ketika berkarya di Tanah Melayu, beliau dipelawa menyertai pertandingan mencipta lagu rasmi dan Negaraku.

Ciptaannya dipilih sebagai pemenang dengan hadiah wang RM1,000 pada 1956. Seni katanya sesuai dengan irama lagu rasmi negeri Perak iaitu Allah Lanjutkan Usia Sultan.

“Selepas dilantik pengarah muzik di Filem Negara, beliau berpeluang menjelajah ke seluruh negara dan bertemu dengan ibu yang menjadi isteri keduanya,” kata Qus Nafiah.

Mengikuti cerita ibunya juga, Saiful Bahri pernah menganggotai pasukan muzik dalam angkatan tentera Indonesia dengan berjawatan jeneral. Ini kerana Qus Nafiah masih ingat pengebumian bapanya dijalankan mengikut upacara penuh ketenteraan.

Selain terkenal dengan mencipta lagu rasmi dan patriotik, beliau yang mahir bermain saksofon turut menghasilkan lagu untuk hiburan. Lagu Lima Tahun Ku Cari paling menyentuh hati Qus Nafiah dan adik-beradiknya kerana mengisahkan rasa sayang ayah kepada ibu mereka.

‘Nuraini dewi
Dikau beri harapan ku kini
Nuraini sayang
Kau berikan cinta abadi’

Itu antara bait-bait dalam lagu itu yang didedikasikan khas Saiful Bahri kepada Noraini yang sanggup bersusah senang bersamanya. Malah sehingga ke hujung nyawa.

“Ayah terlalu cintakannya kerana ibu adalah wanita yang memahami dirinya,” kata Qus Nafiah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyerahkan sumbangan penghargaan kepada waris pencipta lagu rasmi Selangor, Allahyarham Saiful Bahri Elyas sempena Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jasa dikenang

Di sebalik sumbanganya melalui muzik, masih ramai tidak mengenalinya. Malah sewaktu perhimpunan di sekolah, ramai rakan Qus Nafiah tidak mempercayai insan mencipta lagu Negaraku adalah bapanya, bahkan anaknya sendiri tidak percaya kata-katanya yang datuk mereka pencipta lirik lagu kebangsaan.

“Cucu sendiri tidak percaya disebabkan datuk mereka tidak terkenal seperti selebriti ternama lain pada era 1950-an dan 1960-an.”

Atas sebab itu, mereka sekeluarga meneruskan usaha ibu mereka sejak 1992 untuk mendapat pengiktirafan buat Saiful Bahri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawat jawatan Exco kebudayaan pernah bertemu dengan keluarga Qus Nafiah untuk mendengar permohonan mereka.

Meskipun jasad Saiful Bahri sudah tiada lagi di muka bumi, namun karyanya tetap segar, membangkitkan semangat patriotik dan perjuangan.


Pengarang :