Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan penangguhan program Sambutan Falak Peringkat Selangor di De Palma Hotel, Shah Alam pada 29 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perkasa ilmu falak, RM2.5 juta bina struktur tambahan balai cerap

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM2.5 juta bagi membina bangunan tambahan di Balai Cerap Selangor dekat Sungai Lang, Sabak Bernam.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah berkenaan bakal memperkasa ilmu falak (alam semesta) di negeri ini selain melahirkan lebih ramai individu mahir dalam bidang itu.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menggalakkan penubuhan Kelab Falak di sekolah supaya pendedahan dan pengaruh ilmu ini dapat diberi kepada golongan pelajar.

“Ilmu falak ini penting. Kita harus mulakan dengan minat mendalam tentangnya. Bila ada pengetahuan, kita dapat teroka alam sekitar, angkasa lepas dengan lebih meluas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup Bulan Falak Selangor 2022 anjuran Jabatan Mufti Selangor di Hotel De Palma di sini hari ini.

Majlis kali kedua yang diadakan mulai tahun lepas turut dihadiri Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntuk RM1 juta bagi menaik taraf tiga balai cerap di negeri ini untuk meningkatkan aktiviti pembangunan ilmu astronomi.


Pengarang :