Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kanan) bersama Pengarah Perkeso Negeri Selangor Zainol Abu (dua, kiri) menyerahkan sumbangan kepada waris ketika Program Skuad Prihatin Perkeso dan Serahan Faedah di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor turut sama Ketua Cawangan Synergy Prihatin Perkeso Ismail Abi Hasim (kanan) pada 17 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Perkeso serah bayaran pencen kepada waris kakitangan LZS meninggal dunia

KUALA SELANGOR, 17 OGOS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor hari ini menyerahkan bayaran pencen penakat dan pengurusan mayat kepada waris kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada kepala.

Ketua cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi berkata faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan pencen penakat RM2,289.99 sebulan sepanjang hayat diserahkan kepada isteri Allahyarham Khairul Ameer Anor Shamsuddin, 39, iaitu Siti Asma Ahmad Izhar, 39.

“Bagi faedah pencen penakat, bayaran dibuat setiap bulan kepada isteri dan dibahagikan sama rata kepada tiga anak arwah yang kini berusia dua hingga 11 tahun sehingga umur mereka 21 tahun.

“Malah, kita juga sedia menawarkan pinjaman pendidikan kepada anak mereka sekiranya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda asalkan tidak mendapat pembiayaan lain,” kata Ismail Abi Hashim.

Serahan faedah termasuk Kotak Prihatin berisi barangan keperluan asas di Simfoni Perdana, Puncak Alam di sini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata pihaknya turut menyerahkan sumbangan RM3,000 hasil kutipan daripada warga kerja bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Menurutnya, keluarga berkenaan juga akan dinilai sama ada layak untuk menerima bantuan susulan daripada agensi terbabit atau sebaliknya.

“Sebelum ini kita juga beri bantuan RM1,000 bagi pengurusan mayat. Ini adalah inisiatif berterusan LZS sebagai menghargai dan menyantuni warga kerja LZS yang ditimpa musibah,” katanya.

Khairul Ameer merupakan kakitangan LZS cawangan Gombak meninggal dunia pada 9 Ogos lalu.


Pengarang :