ADN Permatang Rozana Zainal Abidin mengulas isu petani di Sekichan dalam sidang media di Dewan Annex, Shah Alam pada 2 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Perluas projek tani ke kawasan lain, bantu pesawah tingkat hasil

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri diminta memperluas projek pembangunan pertanian di kawasan lain dalam anjung utara terutama Tanjung Karang bagi meningkatkan pendapatan petani.

Ahli Dewan Negeri Permatang berkata cadangan itu berikutan ramai penduduk di kawasan terbabit bekerja sendiri dan bergantung hidup kepada hasil kebun serta bersawah yang tidak menentu.

“Dengan keadaan hasil padi tidak menentu iaitu tiga hingga empat tan selain benih padi kurang berkualiti, Kerajaan Negeri menerusi jabatan pertanian dan agensi berkaitan harus membuat kajian.

“(Ini) untuk mencari mekanisme terbaik bagi meningkatkan hasil padi di kawasan Sawah Sempadan,” kata Rozana Zainal Abidin pada sesi perbahasan menyokong usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) kerana ia mampu mewujudkan ribuan pekerjaan di kawasan sekitarnya.

Beliau juga meminta Kerajaan Negeri meneliti cadangan penjadualan baharu tanaman padi di kawasan barat laut iaitu Sabak Bernam dan Kuala Selangor mulai tahun depan.

“Jadual baharu itu akan menyatukan dua skim iaitu Sungai Burung dan Sawah Sempadan serta dilaksana serentak pada Januari 2023 berbanding sebelum ini yang dijalankan berlainan bulan.

“Ia menimbulkan kebimbangan 9,344 petani mengenai masalah bekalan air jika terusan utama tidak diselenggara baik bagi menampung keperluan penjadualan baharu itu,” katanya lagi.

Sementara itu, wakil rakyat Templer Mohd Sany Hamzan pula mencadangkan penubuhan Universiti Pertanian Selangor ketika membahaskan usul RS-1 di sidang DNS.

“Saya mencadangkan penubuhan Universiti Pertanian Selangor bagi menunjukkan keseriusan kita untuk menjadi sebagai negeri pengeluar makanan,” katanya.


Pengarang :