Sukarelawan Selvax mengibarkan Jalur Gemilang sambil memakai pakaian tradisional Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang ke – 64 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pertandingan video Tiktok MPKj sempena Hari Kebangsaan tawar hadiah RM1,700

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menganjurkan Pertandingan Tiktok video bertemakan kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Menurut MPKj pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM1,700 kepada pemenang tempat pertama hingga ke kesepuluh.

“Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM500 dan masing-masing RM300 dan RM200 bagi tempat kedua serta ketiga.

“Tempat keempat hingga kesepuluh pula akan menerima wang tunai RM100 setiap seorang,” kongsi MPKj di Facebook.

Mengenai syarat penyertaan, video yang dihasilkan mestilah dirakamkan di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Pertandingan ini dibuka kepada semua pihak dan kesemua peserta wajib mengikuti akaun Tiktok @MPKajang.

“Selain itu, video yang dihasilkan tidak boleh melebihi 60 saat dan ia bebas sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau loghat tempatan,” katanya.

MPKj berkata video terbabit juga mestilah karya asal, tidak menyentuh unsur-unsur sensitif dan akaun Tiktok peserta hendaklah sentiasa dalam tetapan umum.

Orang ramai yang berminat menyertai pertandingan ini dikehendaki mengimbas kod-QR untuk setiap penyertaan dan melengkapkan borang penyertaan yang disediakan.

“Video yang ingin dipertandingkan perlu dimuat naik ke akaun peribadi peserta dan wajib memasukkan tanda pagar (Hashtag) #Kemerdekaan@MPKj dan ‘ tag ’ Tiktok @MPKajang,” katanya.

Sementara itu, sebarang pertanyaan boleh dihantar terus ke telegram @MPKajang dan video boleh dihantar mulai 15 Ogos hingga 31 Ogos ini sebelum jam 12 malam.


Pengarang :