BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Perutusan Hari Kebangsaan: Raikan kepelbagaian, bina identiti nasional

Ucapan Hari Kebangsaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Tahun ini genap 65 tahun kita merdeka. Pada tanggal 31 Ogos tersebut, bendera penjajah Inggeris, Union Jack, telah diturunkan buat selama-lamanya di Semenanjung Tanah Melayu.

Semangat antikolonialisme yang marak akhirnya berjaya membebaskan kepulauan nusantara ini daripada penjajah Belanda dan Inggeris. Indonesia dan Malaysia akhirnya mandiri sebagai sebuah negara yang baharu.

Singapura bagaimanapun memilih untuk berpisah kemudiannya dan memilih jalan nasionalisme tersendiri.

Ketiga-tiga negara tetangga menjalani kehidupan bermasyarakat yang berbeza dan akhirnya menghasilkan jati diri yang berbeza.

Berpandukan Rukun Negara yang digariskan setelah peristiwa Mei 1969, wajar untuk kita tinjau semula objektif yang cuba dicapai dengan gagasan luhur tersebut.

Dipetik di sini bahawa “objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:

  1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat;
  2. Memelihara satu cara hidup demokratik;
  3. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
  4. Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan
  5. Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Di sini kita dapati bahawa asas yang digariskan oleh generasi awal pasca-Merdeka sememangnya menunjuk ke arah suatu sikap yang meraikan kepelbagaian dan kemajmukan: suatu bentuk kosmopolitanisme.

Dalam gugatan cauvinisme dan parokialisme yang cuba menjentik, Selangor tidak boleh memeluk tubuh dan bertindak seolah-olah “business as usual” — negeri ini harus mengorak langkah dan memimpin jalan perpaduan buat semua.

Dengan itu, kita harus memugar semula semangat kebangsaan yang berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Kita sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan antaranya menjamin kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Akan tetapi kita juga sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan turut menjamin kebebasan kehakiman, kewibawaan Parlimen, hak asasi individu rakyat Malaysia dan kedaulatan perlembagaan.

Kita tidak boleh bersikap juz’i-juz’i, serpihan, ambil yang itu dan tinggalkan yang ini. Kita mesti mengambil secara syumul, menyeluruh.

Marilah kita sama-sama mengimbau semula akan cita-cita mengapa Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 itu digubal. Cita-citanya adalah untuk mewujudkan suatu Identiti Nasional.

Manakala jelas dokumen dasar tersebut menyatakan bahawa kebudayaan Melayu merupakan teras kepada Kebudayaan Nasional, ia bukanlah bermaksud suatu ketuanan yang rakus berkuasa sehingga menyisihkan prinsip-prinsip keadilan.

Justeru tatkala kita membela nasib orang Melayu yang terpinggir, jangan sesekali culas atau alpa untuk membela peniaga kecil Cina yang bertungkus-lumus membina semula hidup pascapandemik atau anak India yang mati dalam tahanan.

Oleh kerana itu juga, tatkala kita terkesan dengan orang Melayu yang bersusah payah membina kehidupan, kita juga tidak boleh sama sekali memejam mata akan keperitan hidup sahabat-sahabat kita di Sabah atau Sarawak.

Kita mesti jadi rakyat Malaysia yang bermaruah dan berkeyakinan. Inilah yang cuba diterjemahkan daripada tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, yakni #KitaSelangor Teguh Bersama.

Perkara kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan turut menegaskan bahawa unsur-unsur kebudayaan lain juga membentuk sebahagian dari Identiti Nasional tersebut. Kita mesti meraikan kepelbagaian.

Almarhum Dr. Siddiq Fadzil pernah menulis: “Perbezaan tidak bererti permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya.” Lafaz ‘lita’arafu’ dalam surah
Al-Hujurat ayat 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai “untuk saling mengenal” menurut beliau, “pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya.”

Dengan mengambil iktibar ini, marilah kita sama-sama memaknai semula erti kemerdekaan dengan saling mengenal, memperkaya dan memperkasa kehidupan bermasyarakat yang majmuk dan harmoni.

Ingatlah bahawa kisah kejayaan Selangor bermula dahulunya dengan hasil tangan bersama antara pengusaha timah di Klang, pedagang di Port Swettenham, petani di Sekinchan, perlindungan sempadan di Kuala Kubu Baharu dan Kota Melawati menghadapi musuh, dan ramai lagi seawal pengasasan Kesultanan Selangor di Langat pada kurun ke-18 yang lepas.

Sebagai sebuah negeri ‘melting pot’ yang sentiasa menerima migrasi dari luar, penting untuk keutuhan fabrik sosial yang dinikmati saat ini diteruskan demi menempa kejayaan baharu buat Selangor yang tercinta, serta Malaysia sebagai ibu pertiwi.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-65 buat semua. #KitaSelangor Teguh Bersama.


Pengarang :